Orang kampung selamatkan mangsa, pemandu bot terbalik di Pulau Perhentian

BESUT: Percutian tiga keluarga bertukar tragis apabila tiga individu maut, manakala seorang lagi dalam keadaan kritikal selepas bot yang mereka naiki terbalik berhampiran Pulau Perhentian pada malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad mengesahkan insiden yang berlaku sekitar pukul 10.30 malam itu mengorbankan S. Arumugam, 40; anaknya, A. Sarrvihka, 3; serta saudara mereka, V. Vennpani, 10.

Seramai 12 lagi mangsa, termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun, mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Besut.

“Kejadian berlaku ketika ribut, hujan lebat dan laut bergelora menyebabkan bot yang membawa 15 penumpang berusia tiga hingga 40 tahun itu terbalik dan karam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut.

Difahamkan, bot pelancong tersebut dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas menghadiri pertunjukan ‘fire show’.

“Selepas tamat pertunjukan mereka mahu bergerak pulang sekitar jam 10 malam tetapi ketika itu cuaca ribut.

“Pemandu bot menasihatkan supaya tidak balik ke tempat penginapan kerana cuaca tidak mengizinkan tetapi mereka mahu balik kerana sudah lewat malam,” jelas Azamuddin.

Katanya, tragedi berlaku hanya 20 meter dari Pulau Perhentian Besar apabila bot berkenaan secara tiba-tiba terbalik dan karam.

“Ada orang kampung nampak kejadian, segera menghulurkan bantuan dan berjaya menyelamatkan mangsa serta pemandu bot,” tambahnya.

Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk proses bedah siasat.

Kesemua mangsa difahamkan berasal dari Butterworth, Pulau Pinang dan baru tiba di pulau itu sejak kelmarin.

Siasatan mendapati kesemua penumpang tidak memakai jaket keselamatan.

Pemandu bot berusia dalam lingkungan 20-an turut ditahan reman selepas disahkan positif dadah dan memiliki lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Justeru, pihak polis ingin menasihati orang ramai supaya mengutamakan keselamatan ahli keluarga semasa di pantai peranginan.

“Pihak polis juga menasihati pengusaha bot supaya mengutamakan keselamatan pelancong dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan terutama pemakaian jaket keselamatan,” tegas beliau.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kapten Maritim Hamiludin Che Awang memaklumkan bahawa pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 10.55 malam dan melancarkan operasi menyelamat pada pukul 11.17 malam menggunakan Bot Maritim Penggalang 45.

“Maritim Malaysia akan memastikan aspek keselamatan pengangkutan laut di negara ini termasuk di kawasan pelancongan terus dipertingkat.

“Kejadian itu sekali lagi menjadi peringatan betapa pentingnya aspek keselamatan di laut, khususnya ketika cuaca tidak menentu.

“Maritim Malaysia menyeru semua pengusaha bot supaya mematuhi arahan keselamatan dan memeriksa ramalan cuaca sebelum memulakan perjalanan,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat