UTAH: Sekutu rapat atau orang kanan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump iaitu, Charlie Kirk dilaporkan dibunuh akibat ditembak di leher pada lewat Rabu.
Menerusi laporan berita antarabangsa Reuters, Kirk dibunuh dalam satu pembunuhan politik yang tragik di Universiti Lembah Utah atau dikenali sebagai Utah Valley University.
Difahamkan, siri tembakan berlaku pada pukul 12:20 tengah hari waktu tempatan (MT) ketika Kirk sedang berucap di hadapan ribuan hadirin di universiti berkenaan.
Dalam pada itu, rakaman telefon bimbit yang tular di media sosial menunjukkan beliau rebah dari kerusinya sejurus selepas kedengaran satu das tembakan, manakala hadirin bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Satu lagi rakaman turut menunjukkan darah mengalir deras dari leher mangsa sebaik tembakan dilepaskan.
Justeru, pihak berkuasa memaklumkan bahawa tembakan berkemungkinan dilepaskan dari atas bumbung bangunan pada jarak yang agak jauh.
Dianggarkan seramai 3,000 orang berada di lokasi semasa kejadian.
Menurut Ketua Polis Universiti Lembah Utah, Jeff Long, seramai enam pegawai keselamatan kampus ditugaskan mengawal majlis tersebut, selain turut bekerjasama dengan pasukan keselamatan peribadi Kirk yang turut berada di lokasi.
Sehingga petang Rabu, hampir enam jam selepas kejadian, pihak berkuasa masih belum mengenal pasti suspek secara rasmi.
Bagaimanapun, Pengarah FBI, Kash Patel, menerusi satu kenyataan media di laman sosial memaklumkan bahawa seorang individu telah ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan semula.
“Siasatan kami masih diteruskan dan maklumat lanjut akan dikongsi demi ketelusan,” katanya.
Baca juga:








