Orang Melayu Kampong Bharu Kekal Terjamin – Menteri

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan bahawa kepentingan orang Melayu di Kampong Bharu akan terus dipelihara, selaras dengan titah pandangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berhubung pembangunan semula kawasan bersejarah itu.

Menurutnya, Jabatan Wilayah Persekutuan komited memastikan setiap langkah pembangunan dilakukan dengan penuh hemah dan berpandukan lunas undang-undang tanpa mengabaikan warisan serta identiti masyarakat Melayu yang telah lama bertapak di tengah ibu kota.

“Kepentingan orang Melayu di Kampong Bharu kekal terjamin dan tidak akan diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Dr Zaliha turut mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan isu Kampong Bharu sehingga menggugat keharmonian masyarakat yang telah lama hidup secara aman dan berbudaya di kawasan tersebut.

“Sebarang usaha untuk mengganggu-gugat keharmonian atau mempolitikkan isu ini adalah tidak wajar,” katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor bertitah bahawa sebarang usaha pembangunan semula Kampung Sungai Baru dan Kampung Baru perlu dilakukan secara teliti dan mengutamakan kepentingan masyarakat Melayu.

Baginda turut bertitah walaupun pembangunan perlu bergerak seiring dengan peredaran zaman, syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, pendirian kerajaan adalah selari dengan titah baginda, iaitu memastikan Kampong Bharu kekal sebagai simbol kelangsungan maruah dan mengambil kira kepentingan orang Melayu di Kuala Lumpur.

Anda Mungkin Berminat