Orang Ramai Dilarang Beli, Jual Dan Main Mercun Tanpa Kebenaran

KUALA LUMPUR: Polis mengingatkan orang ramai bahawa tindakan memiliki, menjual, membeli dan bermain mercun serta bunga api sempena mana-mana perayaan termasuk Tahun Baharu Cina pada 17 Februari tanpa kebenaran adalah satu kesalahan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hanya bunga api jenis Pop-Pop dan Happy Boom sahaja dibenarkan kerana tidak mengandungi bahan bakar yang membahayakan keselamatan.

“Dengan syarat, penjualan kedua-dua jenis bunga api itu tetap memerlukan permit daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang berkaitan mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Beliau berkata, sesiapa yang memiliki, menjual, membeli dan bermain mercun serta bunga api selain daripada yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Jika sabit kesalahan katanya, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Fadil berkata, masyarakat turut diingatkan agar tidak bermain mercun dan bunga api melebihi jam 12 tengah malam kerana ia boleh mendatangkan kacau ganggu atau bahaya kepada umum.

“Sekiranya ingkar, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 366) dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang boleh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang demi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat serta mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Anda Mungkin Berminat