Orang Ramai Kongsi Kemeriahan Raptai Hari Kebangsaan 2025 Di Putrajaya

Oleh: Aliyaa Azmi

PUTRAJAYA: Raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya mencuri perhatian ribuan pengunjung yang hadir lebih awal untuk menyaksikan kemeriahannya, meskipun acara rasmi hanya akan berlangsung pada 31 Ogos ini.

Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, suasana penuh semangat dan warna-warni itu menjadi tular di media sosial dengan pelbagai video memaparkan aksi perbarisan, pancaragam dan persembahan pasukan badan beruniform yang menjadi tarikan utama setiap tahun.

Antara yang mencuri tumpuan ialah 120 peserta Program PERMATA Seni Tari bersama anak-anak Sekolah Seni Kuala Lumpur yang tampil penuh semangat dalam latihan mereka.

Menerusi perkongsian pengguna TikTok @ayla15s, gerak tari mereka menggambarkan semangat patriotik yang kian membara menjelang sambutan kemerdekaan.

Kelibat pasukan badan beruniform turut mencetuskan keterujaan netizen.

Video yang dimuat naik oleh pengguna @khai_iz menunjukkan anggota pasukan bersiap sedia untuk perarakan, malah ada yang sempat melambai ke arah kamera dari dalam kenderaan, disambut sorakan penonton yang hadir.

Tidak ketinggalan, pasukan bomba yang sering digelar ‘bintang utama’ perarakan memikat perhatian dengan aksi penuh disiplin dan demonstrasi khas.

Persembahan mereka, sebagaimana dikongsi oleh pengguna TikTok @tejasaadong, disambut dengan tepukan gemuruh daripada pengunjung yang membanjiri Dataran Putrajaya.

Suasana raptai ini bukan sahaja memperlihatkan kesungguhan peserta tetapi turut menyemarakkan keterujaan rakyat untuk menyambut Hari Kebangsaan ke-68 yang dijangka lebih meriah dan bersejarah.

Kehadiran awal orang ramai ke sesi latihan membuktikan semangat patriotisme terus hidup dan berkembang dalam kalangan generasi muda.

Dengan pelbagai elemen persembahan, formasi grafik manusia, koir pelajar dan demonstrasi pasukan keselamatan, sambutan kali ini dijangka menjadi antara yang paling dinanti dalam sejarah penganjuran Hari Kebangsaan di Putrajaya.

Anda Mungkin Berminat