Orkestra MRSM Felda Trolak sedia gegar pentas dunia

KUALA LUMPUR: Seramai 59 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab, FELDA Trolak terpilih mewakili negara pada pertandingan orkestra antarabangsa di Prague, Republik Czech pada 15 Jun depan.

Penyertaan Maremaf Wind Orchestra (MAWO) yang menghimpunkan pelajar cemerlang daripada kalangan generasi muda FELDA, menjadi lambang kejayaan pendidikan holistik yang ditawarkan MARA kepada anak-anak peneroka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan ia sebagai satu pencapaian besar yang mengharumkan nama FELDA, MARA, dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di pentas dunia.

“Malam tadi, saya berpeluang menyaksikan rakaman Konsert Desaku Mendunia anjuran FELDA yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur. 

“Persembahan hebat mereka benar-benar membuktikan bahawa bakat seni anak FELDA mampu menyaingi kelas antarabangsa.

“Lebih membanggakan, kumpulan MAWO ini akan mewakili negara dalam satu pertandingan orkestra berprestij di Prague, Republik Czech, bersama peserta dari 11 negara lain. 

“Ini merupakan satu manifestasi jelas bahawa pendidikan holistik dan pembangunan insaniah yang diterapkan di MRSM FELDA mampu melahirkan anak bangsa bertaraf dunia, baik dalam bidang akademik, keusahawanan, dan kini juga seni muzik,” kongsinya di Facebook pada Khamis.

Dalam majlis sama, Zahid turut melancarkan Pra-Pelancaran Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D), yang akan berlangsung di MITEC tidak lama lagi. 

Saksikan rakaman konsert ini yang akan disiarkan pada 31 Mei di TV2 jam 9 malam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat