REPUBLIK CZECH: Satu detik gemilang tercipta di bumi Eropah apabila MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari MRSM Ulul Albab FELDA Trolak berjaya mengharumkan nama negara dengan meraih Golden Diploma Award dalam kategori ‘middle class’ di International Festival of Wind Orchestra Prague 2025.
MAWO menewaskan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam negara untuk muncul juara dalam kategori tersebut.
Menurut satu hantaran di Facebook FELDA, Malaysia merupakan satu-satunya wakil dari Asia yang bertanding, manakala 10 lagi kumpulan datang dari negara-negara Eropah.
“Pengiktirafan ini diberikan berdasarkan pemarkahan tertinggi oleh juri profesional yang menilai persembahan lapan kumpulan dalam kategori tersebut.
“Anugerah ini diberi berdasarkan pemarkahan tertinggi oleh juri kepada MAWO setelah menilai kesemua lapan kumpulan orkestra dalam pertandingan kategori tersebut.” katanya.
Tambahnya, anugerah selepas Golden Diploma adalah ‘silver’ (perak) dan ‘bronze’ (gangsa), menjadikan kejayaan MAWO satu pencapaian yang benar-benar membanggakan.
Tahun ini, pertandingan menampilkan tiga kategori iaitu ‘lower class’, ‘middle class’ dan ‘higher class’ yang ditentukan berdasarkan tahap kesukaran muzik, kecekapan teknikal serta pengalaman setiap kumpulan.
Tahniah MAWO!