Otai Reformis Tetap Teguh, Anwar Kenang Pengorbanan Pejuang

BUKIT BERUNTUNG: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bertemu sahabat lama dan barisan Otai Reformis yang telah sekian lama menjadi tulang belakang gerakan reformasi negara.

Pertemuan yang berlangsung petang tadi bukan sekadar sesi nostalgia tetapi menjadi medan untuk memperkukuh tekad meneruskan agenda perubahan yang telah lama diperjuangkan.

“Perjuangan ini bukan untuk mengangkat mana-mana individu.

“Perdana Menteri dan menteri silih berganti tetapi apa yang kita tuntut adalah perubahan sistem yang telah usang dan bobrok yang membolehkan segelintir pimpinan lama mengaut hasil kekayaan untuk diri dan keluarga, tatkala rakyat terus menderita,” kata Anwar dalam ucapannya.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada Otai Reformis yang kekal setia meskipun berdepan kezaliman pemerintah terdahulu.

Ketekalan mereka, katanya, menjadi faktor utama kejayaan gerakan reformasi sehingga kini diberi mandat untuk mentadbir negara.

“Namun kerana ketekalan saudara-saudara Otai Reformis di atas landasan perjuangan ini, meskipun diuji dengan kezaliman pemerintah terdahulu, hari ini kita diberi mandat untuk mentadbir negara dan melaksanakan reformasi yang diimpikan,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa sejak diberi amanah, Kerajaan MADANI telah memulakan langkah-langkah reformasi penting termasuk menghentikan rundingan terus, membetulkan tatakelola dan memastikan perolehan kewangan yang telus.

“Usaha menghentikan ketirisan, salah guna kuasa serta memerangi rasuah yang sistemik dan berakar menjadi tunjang utama dalam pentadbiran Kerajaan MADANI,” katanya.

Beliau mengakui bahawa reformasi ini belum sempurna dan memperbaiki sistem yang rosak sejak puluhan tahun memerlukan masa dan kebijaksanaan termasuk dalam berunding dengan pimpinan parti lain.

“Namun saya akan terus menggunakan mandat dan amanah yang diberikan untuk memastikan reformasi ini menjadi kenyataan,” katanya.

Dalam nada penuh empati, Anwar memberi jaminan bahawa kebajikan Otai Reformis tidak akan dipinggirkan dan akan menjadi keutamaan pimpinan PKR.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya zahirkan kepada teman-teman Otai Reformis yang kekal setia dalam khittah perjuangan.

“Tanpa keteguhan dan pengorbanan saudara-saudara, kita tidak mungkin sampai ke detik ini,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat