Ozzy Osbourne Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung, Dedah Sijil Kematian

DUNIA muzik antarabangsa berduka dengan pemergian legenda rock, Ozzy Osbourne, yang meninggal dunia pada usia 76 tahun.

Sijil kematian rasmi yang difailkan oleh anak perempuannya, Aimée Osbourne, mendedahkan bahawa punca kematian beliau adalah serangan jantung yang berlaku di luar hospital, berpunca daripada penyakit arteri koronari dan komplikasi Parkinson yang telah lama dihidapinya.

Ozzy, yang dikenali sebagai vokalis utama kumpulan ikonik Black Sabbath telah bertarung dengan penyakit Parkinson sejak tahun 2019.

Beliau juga menjalani beberapa pembedahan besar selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh pada tahun yang sama.

Walaupun kesihatan beliau semakin merosot, semangatnya terhadap muzik tidak pernah pudar.

Pada 5 Julai lalu, Ozzy membuat kemunculan terakhir di pentas, bergabung semula dengan ahli asal Black Sabbath dalam satu persembahan yang penuh emosi dan nostalgia.

Ia menjadi detik bersejarah buat peminat yang telah menantikan pertemuan semula mereka selama hampir dua dekad.

Pemergian Ozzy disambut dengan kesedihan mendalam oleh keluarga, rakan-rakan dan jutaan peminat di seluruh dunia.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di London, dikelilingi oleh insan-insan tersayang.

Jasad beliau telah dikebumikan pada 30 Julai di kampung halamannya, Birmingham, England, dalam satu upacara yang dihadiri ribuan peminat yang hadir memberi penghormatan terakhir.

Sijil kematian beliau turut menyenaraikan profesionnya sebagai ‘penulis lagu, penghibur dan legenda rock’ iaitu satu penghormatan yang tepat buat insan yang telah mengubah landskap muzik dunia selama lebih lima dekad.

Ozzy Osbourne bukan sekadar bintang rock, beliau adalah lambang keberanian, kreativiti dan ketulenan dalam dunia muzik.

Pemergiannya meninggalkan kekosongan besar, namun legasinya akan terus hidup dalam setiap nota dan lirik yang pernah beliau nyanyikan.

Anda Mungkin Berminat