Oleh: Hanim Nadia
PARLIMEN | Pengoperasian Majlis Profesor Negara (MPN) tidak dipantau sepenuhnya oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sejak 8 November 2021 sehingga mengakibatkan ketidakaturan dalam pengurusan majlis berkenaan.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut mendedahkan tiada pelaporan mengenai aktiviti MPN yang pernah dibuat kepada JPM menyebabkan kawalan dan pemantauan sepenuhnya terhadap MPN tidak dapat dilaksanakan.
“Apabila Kerajaan memutuskan bahawa MPN dikeluarkan daripada seliaan JPM pada tahun 2018, MPN telah meminda Artikel Pertubuhan pada tahun 2019.
“Dalam pindaan ini, peruntukan berhubung wakil Kerajaan dalam Lembaga Pemegang Amanah (LPA) telah digugurkan. Setelah MPN diserap semula di bawah JPM pada tahun 2021, MPN masih menggunakan Artikel Pertubuhan tahun 2019 yang dipinda meskipun telah menerima dana daripada Kerajaan.
“Ini menyebabkan ketiadaan wakil Kerajaan dalam LPA MPN mulai tahun 2021 yang dilihat antara faktor utama operasi dan kewangan MPN tidak dipantau dan dikawal oleh pihak Kerajaan,” katanya dalam laporan di laman sesawang PAC.
Justeru itu, katanya, MPN perlu segera mendapatkan maklumbalas daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung status pindaan Artikel Pertubuhan yang terbaharu.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar JPM mengkaji semula sama ada MPN masih relevan sebagai penggerak kepakaran tenaga akademik dalam membantu kerajaan membangunkan negara atau sebaliknya.
“Sekiranya JPM mahu mengekalkan MPN sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan Kerajaan (CLBG), ia perlu diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaras fungsi dan peranannya.
“JPM perlu memaklumkan PAC perkembangan mengenai keputusan sama ada status MPN kekal sebagai agensi CLBG di bawah kerajaan atau sebaliknya dalam prosiding tindakan susulan,” katanya.
PAC menegaskan keberkesanan dan fungsi MPN kepada kerajaan tidak dapat ditentukan kerana Indeks Prestasi Utama (KPI) yang tidak ditentukan serta tidak dilaporkan kepada JPM.
Katanya, JPM perlu menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung pemantauan ke atas syarikat-syarikat di bawah kawal selianya selaras yang diperuntukkan dalam Pekeliling Perbendaharaan PB 1.2.

Dalam pada itu, PAC berkata setiausaha syarikat juga dilihat tidak memainkan peranannya dengan berkesan terutama dalam memberikan nasihat yang tepat kepada LPA mengenai kepatuhan terhadap Artikel Pertubuhan MPN terkini (2019) serta dalam menasihati dalam sebarang keputusan.
“Syarikat MPN Global Reach Sdn Bhd dan Thinkers Consultancy Sdn Bhd ditubuhkan bagi membantu MPN mendapatkan sumber pendapatan.
“Bagaimanapun, semakan melalui carian SSM mendapati MPN tiada pegangan saham dalam kedua-dua syarikat berkenaan. Sebaliknya, terdapat dua Ahli LPA yang mempunyai pegangan saham dalam kedua-dua syarikat berkenaan.
“Salah seorang Ahli LPA, Presiden/KPE MPN mendakwa tidak menyedari bahawa beliau dinamakan sebagai pemegang saham syarikat. Perkara ini menyebabkan berlakunya konflik kepentingan antara MPN dan kedua-dua syarikat berkenaan,” katanya.
Pada 28 Ogos lalu, Presiden MPN, Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose, 64, dan Profesor Datuk Dr Kefli Mahbol, 65 didakwa di Mahkamah Sesyen, Shah Alam atas tujuh pertuduhan pecah amanah dan bersubahat bernilai RM271,000 pada tahun 2023 dan tahun ini.