PAC: PNB, Khazanah dan NAFAS dipanggil bulan depan

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding berhubung kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) pada minggu kedua Disember ini.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam satu kenyataan berkata, PAC akan memanggil Khazanah dan PNB susulan kerugian pelaburan dana awam berjumlah RM43.9 juta dalam syarikat itu.

Dalam pada itu, PAC juga membuat keputusan memanggil semula pengurusan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) termasuk Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pegawai Pengawal Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi menjelaskan konflik yang melanda pertubuhan dianggotai 930,000 ahli itu.

“Seperti semua sedia maklum, PAC sedang menjalankan prosiding berhubung Pengurusan Program Penanaman Padi dan setakat ini sebanyak empat prosiding telah diadakan dengan seramai 12 saksi telah dipanggil untuk memberikan keterangan dan penjelasan.

“Malah pada minggu hadapan, PAC akan mendengar keterangan dan penjelasan daripada 14 saksi yang terdiri daripada pesawah, pengeluar benih padi sah, pengilang beras dan ahli akademik,” katanya.

Perlembagaan NAFAS digantung berkuat kuasa 1 November lalu bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu dengan arahan dikeluarkan di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang telah menjejaskan operasi dan fungsinya.

Mas Ermieyati berkata, PAC pernah memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NAFAS untuk memberi penjelasan dan keterangan pada 26 Mac 2024 serta melawat kilang NAFAS di Gurun, Kedah pada 22 April 2024.

“PAC bimbang isu dan kemelut melanda NAFAS ini akan membawa kepada masalah lebih besar iaitu kekurangan baja kepada pesawah.Prosiding untuk NAFAS akan ditetapkan pada minggu kedua Disember 2024,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat