Oleh: Aliyaa Azmi
POPULARITI festival Pacu Jalur dari Riau, Indonesia kini menjadi bualan global selepas video seorang kanak-kanak menari di hujung perahu tular di TikTok dan mencetuskan trend antarabangsa.
Namun di sebalik sambutan luar biasa terhadap budaya itu, media sosial dikejutkan pula dengan dakwaan kononnya Malaysia cuba mengakui tradisi Pacu Jalur sebagai miliknya.
Tuduhan itu mencetuskan kemarahan segelintir netizen Indonesia yang menuduh Malaysia ‘mengklaim’ budaya berkenaan, sekali gus mencetuskan perbalahan hangat di platform X.
Bagaimanapun, hasil semakan mendapati tiada sebarang kenyataan rasmi atau tuntutan daripada mana-mana pihak di Malaysia.
Sebaliknya, ciapan asal berhubung dakwaan ‘klaim budaya’ itu dipercayai dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial dari Indonesia sendiri yang dilihat sering memuat naik kandungan provokatif.
Pendedahan itu dibuat oleh beberapa pengguna media sosial yang tampil menunjukkan bukti bahawa ciapan provokasi berkenaan bukan datang daripada rakyat Malaysia.
“Malaysia tak pernah mengaku pun budaya ni. Kami pun bangga tengok warisan Melayu diangkat ke peringkat dunia,” tulis seorang pengguna X.
Seorang lagi netizen menambah: “Akaun yang mula sebarkan isu ni orang Indonesia sendiri. Tapi Malaysia pula yang kena hentam.”

Fenomena itu turut mencetuskan trend global dikenali sebagai “Aura Farming”, dengan ribuan pengguna TikTok termasuk dari Filipina, Thailand dan Malaysia turut meniru gaya tariannya.
Malah, kelab bola sepak terkenal Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) turut menyertai trend berkenaan apabila memuat naik video dengan menggunakan muzik dan gaya tarian yang diinspirasikan daripada klip asal Pacu Jalur.
Susulan isu itu, Ketua Dinas Pariwisata Riau, Roni Rakhmat mengumumkan bahawa pihaknya sedang mengusahakan pendaftaran rasmi tradisi Pacu Jalur sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO, bagi mengelakkan kekeliruan dan dakwaan berulang.
“Pacu Jalur adalah milik Kuantan Singingi, Riau. Kami sedang ajukan ke UNESCO untuk perlindungan antarabangsa,” katanya kepada media tempatan.
Festival Pacu Jalur merupakan acara kebudayaan bersejarah masyarakat Riau yang sudah wujud sejak abad ke-17 dan kini menjadi tarikan pelancongan utama setiap tahun.
Tradisi ini mengetengahkan perlumbaan perahu sepanjang lebih 25 meter, lengkap dengan iringan muzik, tarian dan simbol adat yang kaya dengan nilai seni warisan Melayu.
Baca juga: