Pacu negara ke arah AI, Tubuh DTU di setiap kementerian

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kerajaan Madani sebulat suara untuk menubuhkan Unit Transformasi Digital (DTU) di setiap kementerian bagi mempercepat pendaftaran serta memacu pembangunan MyGov Malaysia agar menjadi gerbang digital tunggal yang berteraskan kecerdasan buatan (AI).

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman rasmi Facebooknya pada Isnin seusai mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN).

Anwar berkata, mesyuarat itu turut dilaksanakan bagi memperkukuh agenda pendigitalan sektor awam melalui inovasi Kerajaan Madani demi perkhidmatan yang lebih pantas, mudah, telus dan berfokus kepada rakyat.

“Keutamaan turut diberikan kepada peningkatan liputan dan kualiti internet di IPTA serta premis latihan kerajaan bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran digital secara berterusan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Hab Kreatif Digital Global menjelang 2030, Kerajaan telah merangka Pelan Hala Tuju Ekosistem Kreatif Digital 2026–2030 (DICE Roadmap) sebagai panduan untuk memposisikan negara sebagai peneraju penciptaan harta intelek berkualiti tinggi serta pembangunan bakat kreatif bertaraf dunia.

“Segala inisiatif ini menjadi asas kepada Fasa 3 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (2026–2030) yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan perniagaan, peningkatan taraf hidup rakyat dan reformasi ekonomi digital negara,” ujarnya.

Anwar turut berikrar bahawa Kerajaan Madani akan terus berusaha dengan penuh tekad dan kecekapan, berpaksikan rakyat, demi memastikan Malaysia kekal maju, makmur dan bersedia menghadapi cabaran era digital yang semakin pesat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat