PACU: Rancakkan MADANI beri peluang rakyat berinteraksi dengan pimpinan negara

PUTRAJAYA: Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 akan berlangsung dari 5 hingga 7 Disember di Dataran Putrajaya, menghimpunkan pelbagai dasar serta inisiatif kerajaan di bawah satu platform.

Program anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama JPA dan MPC itu bertujuan menampilkan pencapaian pentadbiran MADANI secara telus, selain memberikan gambaran menyeluruh kepada rakyat mengenai hala tuju reformasi kerajaan.

Menurut kenyataan PACU, program berskala nasional itu turut berfungsi sebagai saluran penyebaran Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), yang dirangka untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kekal cekap, berintegriti dan berfokus kepada rakyat.

“Program ini memberi ruang kepada rakyat melihat sendiri usaha pembaharuan yang sedang dilaksanakan kerajaan, sekali gus meningkatkan kefahaman terhadap agenda reformasi,” kata PACU dalam satu kenyataan pada Rabu.

PACU menambah, penganjuran selama tiga hari itu juga membuka peluang kepada rakyat berinteraksi secara langsung dengan pimpinan negara.

“Rakyat berpeluang bertemu Perdana Menteri, Jemaah Menteri serta barisan kepimpinan tertinggi kerajaan bagi menyuarakan pandangan, keperluan dan cadangan mereka,” menurut kenyataan itu lagi.

Interaksi itu, menurut PACU lagi, penting bagi memperkukuh hubungan kerajaan dan rakyat.

“Pendekatan sebegini memastikan suara rakyat didengar dan diambil kira dalam pelaksanaan dasar,” ujarnya.

Dalam masa sama, program julung kali itu menghimpunkan pelbagai inisiatif kerajaan di bawah lapan segmen utama.

“Antaranya Produk Rakyat MADANI, Kesejahteraan MADANI, Kepengerusian ASEAN, Belia MADANI dan promosi Tahun Melawat Malaysia 2026,” menurut kenyataan itu.

Pelbagai aktiviti turut disediakan buat pengunjung termasuk pameran aset pertahanan, pemeriksaan kesihatan, karnival kerjaya, Jualan Rahmah, pesta buku, e-sukan, sukan jalanan serta deretan trak makanan bagi memeriahkan program.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat