KUALA LUMPUR: Ibu negara kembali bernafas dengan pembukaan semula Padang Merbok, sebuah ruang awam bersejarah yang sejak turun-temurun menjadi nadi kehidupan warga kota.
Selepas lebih tiga tahun dipagari bermula Ogos 2022 di bawah pentadbiran terdahulu, pagar yang memisahkan rakyat daripada padang ini akhirnya diturunkan sepenuhnya pada 14 Januari 2026.
Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk membetulkan perkara yang tidak wajar dan langkah pertama ialah mengembalikan Padang Merbok kepada pemilik sebenar iaitu rakyat.
“Ruang awam mesti berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk kuasa.
“Padang Merbok kini dibuka semula dan tepat di tempat yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata, sejak generasi ke generasi, Padang Merbok bukan sekadar padang hijau tetapi ia adalah gelanggang sukan, ruang rekreasi dan pentas perhimpunan aman.
Terletak berhampiran Dataran Merdeka dan Parlimen, padang itu membawa nilai nasional yang tersendiri di mana titik pertemuan antara komuniti dan ekspresi demokrasi.
Hannah berkata, penutupan berpanjangan telah menafikan rakyat daripada menggunakan ruang awam yang signifikan ini.
“Kini, dengan pembukaan semula, Kuala Lumpur mengembalikan sebahagian daripada identiti kotanya,” ujarnya.
Tambah beliau, Kuala Lumpur hari ini berdepan cabaran besar dengan kesesakan trafik, peningkatan pelancongan dan acara awam berskala besar yang menekan ruang awam sedia ada.
Katanya, pemulihan Padang Merbok bukan sahaja menyediakan lokasi yang lebih selamat dan mudah diakses untuk rakyat berkumpul, malah membantu mengurangkan kesesakan serta melindungi kawasan warisan berdekatan.








