PADU Terus Jadi Rujukan Agensi Kerajaan – Hanifah

PARLIMEN | Pangkalan Data Utama (PADU) kekal menjadi sumber rujukan utama bagi pelbagai agensi kerajaan dalam merangka dasar dan program yang lebih tepat serta menyeluruh untuk manfaat kumpulan sasar, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.

Menjawab pertanyaan lisan Idris Ahmad (PN–Bagan Serai) di Dewan Rakyat pada Isnin, Hanifah berkata, PADU masih aktif dan terus digunakan secara meluas, sekali gus menepis dakwaan kononnya sistem itu tidak lagi berfungsi selepas peletakan jawatan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, pada Mei lalu.

“Antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Imigresen,” katanya.

Menurut Hanifah, sehingga kini sebanyak 204 agensi telah melaksanakan perkongsian dan integrasi data secara berterusan dengan PADU, menjadikannya platform penting dalam proses semakan dan pengesahan maklumat penerima bantuan serta pelaksanaan subsidi bersasar.

“Data PADU yang terangkum dan dikemas kini menjadi rujukan agensi kerajaan termasuk bagi proses semakan dan pengesahan maklumat kumpulan sasar untuk penyaluran bantuan kepada penerima berkelayakan,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 17 permohonan telah diluluskan untuk menggunakan data PADU dalam penetapan dasar dan pelaksanaan program termasuk inisiatif BUDI Madani RON95 (BUDI95).

“Antara agensi diluluskan untuk penggunaan data ialah Kementerian Kerja Raya, Jabatan Digital Negara, Jabatan Pendidikan Tinggi dan Jabatan Pembangunan Kemahiran,” katanya lagi.

Hanifah menambah, kerajaan komited untuk terus memperluas penggunaan data PADU dalam kalangan agensi kerajaan, selaras dengan pelaksanaan Akta Perkongsian Data 2025 dan Garis Panduan Pelaksanaan Perkongsian Data Sektor Awam.

Kementerian Ekonomi, katanya, juga giat memperkemas proses serta prosedur perkongsian data PADU termasuk daripada segi keselamatan dan kualiti data bagi memastikan sistem itu kekal relevan dan berkesan dalam menyokong dasar negara.

Anda Mungkin Berminat