BANGKOK: Dalam langkah yang disifatkan sebagai pengorbanan politik, bekas Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, melepaskan jawatan sebagai Ketua Parti Pheu Thai pada Rabu bagi memberi laluan kepada proses penstrukturan semula parti yang kini berdepan tekanan dalaman dan luaran.
Anak kepada tokoh politik ternama, Thaksin Shinawatra itu menyatakan bahawa keputusan tersebut dibuat demi membolehkan pembaharuan dilakukan secara bebas dan menyeluruh.
“Hari ini saya melepaskan jawatan sebagai Ketua Parti Pheu Thai dengan niat untuk memulakan pembaharuan seperti yang saya umumkan pada 7 Oktober lalu dengan semangat baharu dan keberanian untuk berubah demi rakyat,” katanya dipetik Berita Tempatan Thailand.
Paetongtarn berkata, perubahan tidak boleh ditangguhkan lagi jika Pheu Thai mahu kekal relevan sebagai antara parti politik utama Thailand.
“Parti Pheu Thai perlu berubah secepat mungkin.
“Justeru, saya memilih untuk berundur agar parti dapat dibina semula dengan sempurna,” katanya.
Walaupun berundur daripada tampuk kepimpinan, beliau tetap kekal sebagai ahli parti dan akan terus memainkan peranan sebagai ‘Ketua Keluarga Pheu Thai’.
Bekas Setiausaha Agung Pheu Thai, Sorawong Thienthong, memaklumkan bahawa Paetongtarn telah mengadakan mesyuarat bersama ahli dan Ahli Parlimen parti pada pagi Rabu bagi menjelaskan keputusan tersebut.
Menurut Sorawong, tindakan itu adalah satu bentuk pengorbanan untuk ‘menyelamatkan parti’ daripada terus dijadikan sasaran serangan politik berasaskan isu peribadi.
“Dengan peletakan jawatan ini, isu peribadi beliau tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli,” katanya.
Parti Pheu Thai kini giat bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2026 dengan Paetongtarn kekal sebagai tonggak utama meskipun tidak lagi memegang jawatan rasmi.
Populariti parti itu merosot selepas pendedahan panggilan telefon kontroversi antara Paetongtarn dan pemimpin Kemboja, Hun Sen, yang dianggap melanggar etika ketika ketegangan memuncak di sempadan kedua-dua negara.
Mahkamah Perlembagaan Thailand sebelum ini memutuskan Paetongtarn bersalah atas pelanggaran serius etika, menyebabkan beliau disingkirkan daripada jawatan Perdana Menteri pada Ogos lalu dan merupakan satu keputusan yang mencetuskan gelombang peletakan jawatan dalam kalangan Ahli Parlimen Pheu Thai.








