KUANTAN: Sempena sambutan Tahun Baru Cina 2025, Kerajaan Negeri Pahang akan menganjurkan Program Jualan Makmur di kesemua 11 daerah di negeri itu.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, program itu bertujuan membantu rakyat terutamanya golongan B40 dalam membuat persiapan perayaan dengan menawarkan harga barangan keperluan yang lebih murah daripada pasaran.
“Program ini akan menyediakan pelbagai barangan keperluan perayaan pada harga mampu milik bagi memastikan rakyat Pahang dapat menyambut Tahun Baru Cina dengan lebih meriah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah memperuntukkan RM2.52 juta dalam Belanjawan Negeri Pahang 2025 bagi Program Jualan Makmur Kluster Perayaan termasuk RM600,000 untuk Jualan Makmur Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2025.
Justeru, Chong Siang berkata, kelulusan peruntukan tersebut telah diluluskan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 15 Januari lalu.
Tambahnya, inisiatif itu bertujuan mengurangkan kos sara hidup yang meningkat dan melengkapi program Jualan Rahmah Madani oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.