Oleh: Farah Faizal
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang bersetuju menaikkan kadar insentif kepada pemenang pingat emas bagi atlet Pahang yang bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di Sarawak.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) sebagai tanda menghargai komitmen dan usaha gigih para atlet yang berlatih dan berkorban untuk meningkatkan imej Negeri Pahang dan memajukan bidang sukan di negeri itu.
“Melalui insentif ini, setiap pemenang pingat emas atlet individu akan menerima insentif RM6,000, berbanding RM4,000 sebelum ini.
“Manakala, setiap pemenang pingat emas atlet berkumpulan akan menerima insentif RM2,000 setiap seorang, berbanding RM1,000 sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut berharap atlet SUKMA Pahang dapat mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dalam mengharungi saingan SUKMA Ke-21 yang bakal berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos dengan penuh keazaman dan kecekalan terutamanya dalam memburu pingat emas.
“Selamat berjuang kepada semua atlet SUKMA Pahang dan jadilah inspirasi kepada generasi muda negeri ini,” katanya.