‘Pak Hassan Seorang Rebel, Tapi Saya Tetap Hormat’ – Nurul Izzah

PETALING JAYA: Calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengakui bahawa hubungannya dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim bukanlah sentiasa sehaluan, namun rasa hormat terhadap tokoh itu tidak pernah pudar.

Dalam satu hantaran di Facebook, Nurul Izzah menyifatkan Pak Hassan sebagai seorang ‘rebel, with a cause’ yang lantang mengkritik perkhidmatannya semasa berada di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Katanya, kritikan itu berlaku sebelum beliau berundur dan menyerahkan tugas kepada Nurhisham Hussein yang ketika itu merupakan Pengarah Ekonomi dan Ketua Pegawai Strategi (CSO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Namun, Hassan jugalah yang mendorongnya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.

“Marah atau tidak, tidak pernah pudar rasa hormat saya kepada Pak Hassan,” katanya.

Nurul Izzah turut mengenang bagaimana mereka pernah meraih dana daripada orang ramai untuk memenuhi keperluan perkhidmatan parti termasuk wang deposit ketika PKR berdepan kesukaran suatu ketika dahulu.

“Kopi ini sememangnya keras, namun kerasnya kita tempuhi bersama,” ujarnya, menggambarkan cabaran yang mereka hadapi dalam perjuangan politik.

Beliau turut mengucapkan selamat menunaikan ibadah haji kepada Hassan dan isterinya, sambil menyeru agar mereka saling mendoakan kesejahteraan bersama.

“Selamat menunaikan ibadah haji, Pak Hassan dan isteri. Sama-sama kita saling mendoakan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat