Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Menentukan sama ada anak sedia memasuki Darjah 1 pada usia enam tahun sering menimbulkan kebimbangan ibu bapa, terutama apabila mereka bimbang anak tidak mampu menyesuaikan diri dengan rutin dan pembelajaran sekolah.
Pakar kanak-kanak, Dr. Nisa Khalil berkongsi ‘checklist’ mudah yang boleh membantu ibu bapa menilai kesediaan anak sebelum melangkah ke sekolah rendah.
Beliau menekankan bahawa penilaian bukan sekadar berdasarkan akademik, tetapi merangkumi pelbagai aspek perkembangan anak.
Menurut Dr. Nisa, kesediaan anak melibatkan empat bidang utama iaitu kognitif, emosi dan sosial, fizikal dan kemahiran kendiri, serta komunikasi. Kesemua bidang ini memainkan peranan penting untuk memastikan anak dapat menyesuaikan diri dengan baik di sekolah.
“Kesediaan anak bukan sekadar akademik. Emosi, sosial, fizikal dan komunikasi sama penting untuk mereka berkembang dengan baik. ibu bapa perlu melihat anak secara menyeluruh, bukan hanya mengukur kemampuan membaca atau menulis.” tulisnya di aplikasi Thread pada Rabu.
Dalam aspek kognitif, anak disarankan mampu mengikuti arahan mudah, fokus pada satu aktiviti selama 15 hingga 20 minit, mengenal huruf, nombor dan warna asas, serta memegang pensel dengan betul.

Dari segi emosi dan sosial, anak perlu boleh berpisah dengan ibu bapa tanpa menangis, bermain dan berkongsi dengan rakan sebaya, serta menyatakan perasaan menggunakan kata-kata.
Katanya, kemahiran fizikal dan kendiri juga penting. Anak sebaiknya boleh pergi ke tandas sendiri, makan sendiri, memakai kasut, menjaga barang peribadi, serta mempunyai stamina untuk duduk dan belajar beberapa jam mengikut jadual sekolah.
Komunikasi pula melibatkan kemampuan bercakap dalam ayat penuh, menceritakan pengalaman, bertanya apabila tidak faham, dan memahami arahan dalam Bahasa Melayu atau Inggeris.
“Checklist ini panduan, bukan diagnosis. Ibu bapa kenal anak mereka paling baik, percaya juga kata hati. Anak yang belum bersedia pada usia enam tahun tidak bermakna gagal, dan menunggu setahun lagi tidaklah terlalu lewat.
“Tak bersedia umur 6 bukan bermakna gagal. Setiap anak ada timeline sendiri. Tugas kita adalah pastikan mereka bersedia untuk thrive, bukan sekadar survive,” tambah Dr. Nisa.
Beliau menasihatkan ibu bapa menyimpan checklist ini, berbincang dengan pasangan, dan membuat penilaian secara menyeluruh sebelum membuat keputusan untuk menghantar anak ke sekolah.
Baca juga:








