Pakar tegaskan tiada sebab Pindaan Akta Penagih Dadah tidak disokong

Pindaan yang dicadangkan dalam Akta Penagih Dadah (APD) (Rawatan dan Pemulihan) 1983 perlu diterima oleh semua pihak dalam mempertimbangkan kebaikan yang mampu menguntungkan negara terutamanya daripada aspek keselamatan, kesihatan, ekonomi dan sosial.

Pakar Kaunseling Penagihan, Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin memaklumkan saranan pendekriminalisasian oleh badan dunia perlulah disambut baik oleh Malaysia menggunakan ‘acuan sendiri’.

Ia adalah kerana isu penagihan kini diterima pakai sebagai isu kesihatan yang tidak dapat dipisahkan dengan komponen keselamatan negara.

“Dengan demikian kerajaan sangat berhati-hati dalam melaksanakan dekriminalisasi dengan mengambil kira semua aspek melalui proses libat urus yang sangat menyeluruh.

“Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 memberi nafas baharu kepada pengurusan penagihan dadah dan penyalahgunaan bahan yang boleh dilihat dengan memenuhi ciri-ciri amalan terbaik dalam rawatan dan pemulihan dadah serta bahan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau turut menekankan semangat yang diterjemahkan dalam pemakaian RUU ini juga melengkapi prinsip rawatan dan pemulihan seperti mana yang disarankan oleh National Institute on Drug Abuse (NIDA).

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, pindaan RUU APD (Rawatan dan Pemulihan) 1983 menyentuh empat aspek utama dalam pengurusan penagihan dalam mengimbangi aspek kesihatan dan komponen keselamatan.

Antara empat aspek tersebut termasuk aksesibiliti rawatan dan pemulihan di mana pindaan RUU tersebut jelas menterjemahkan tindakan yang proaktif dalam melakukan anjakan paradigmanya dengan mengalihkan pendekatan pemenjaraan kepada pendekatan bukan pemenjaraan.

Aspek kedua pula merupakan kebertanggungjawaban ibu bapa dan orang dewasa terhadap tingkah laku dan tindak tanduk pesakit dadah tersebut.

Seterusnya, aspek ketiga ialah integriti proses rawatan dan pemulihan yang mengangkat kewibawaan proses pemulihan dengan menyediakan Pegawai Pemulihan yang profesional setara dengan ‘Profesyen Perkhidmatan Menolong’ yang lain.

Akhir sekali, piawai minima perkhidmatan merupakan punca kuasa kepada pemerkasaan pusat perkhidmatan rawatan dan pemulihan sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat