Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Lebih 400,000 guru di seluruh negara menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan integriti, justeru ia bercanggah dengan dakwaan tenaga pelajar paling ramai memalsukan sijil cuti sakit (MC).
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata pihaknya ambil serius satu laporan media yang membuat dakwaan tidak bertanggungjawab dan memberi persepsi negatif terhadap profesion perguruan.
Kenyataan itu turut menyatakan, isu tersebut tidak sepatutnya berbangkit kerana tatakelola penjawat awam diamal bagi memastikan prestasi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat.
“Pihak Kementerian Pendidikan juga mempunyai peraturan yang jelas bagi menangani isu tatatertib penjawat awam.
“Pemantauan dilaksanakan secara berterusan di setiap peringkat dan penjawat awam yang terlibat dalam sebarang salah laku akan dikenakan tindakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, KPM tekad untuk terus memartabatkan profesionalisme guru bagi mendidik anak bangsa.
Pada 30 September lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendedahkan golongan guru adalah kumpulan penjawat awam paling ramai terlibat dalam salah laku memalsukan MC.
Selain itu, ada juga guru yang dikesan sengaja memohon cuti kecemasan (EL) untuk kepentingan peribadi.
Menurutnya, setiap tahun kira-kira satu peratus hingga dua peratus daripada 10,000 penjawat awam dikenal pasti memberi cuti palsu selain sengaja menggunakan EL semata-mata mahu melanjutkan tempoh bercuti.