Pameran Hadiah dari ASEAN Dilanjutkan Hingga Disember

KUALA LUMPUR: Tempoh Pameran Hadiah dari ASEAN di Balai Seni Negara yang sepatutnya berakhir pada 31 Julai ini, kini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025.

Keputusan ini diambil berikutan sambutan hangat daripada pengunjung serta bagi menyokong penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung pada Oktober nanti.

Pameran yang dibuka secara rasmi pada 17 Februari lalu itu menampilkan 33 karya seni istimewa yang dihadiahkan kepada Malaysia oleh negara-negara ASEAN dan ASEAN+6 (Korea Selatan, Jepun, China dan India) antara tahun 1960 hingga 2009.

Koleksi ini mencerminkan ikatan diplomatik yang terjalin serta warisan budaya serantau yang dikongsi melalui pelbagai bentuk seni visual.

Antara karya yang dipamerkan termasuk hasil ciptaan tokoh seni tanah air seperti Lim Nan Seng, Aw Eng Kwang, Chang Yong Chia, dan Linggam, selain penyertaan seniman dari rantau Asia seperti Nurdian Ichsan (Indonesia), Ahmad Abu Bakar dan Thomas Cheong Kah Ho (Singapura), serta artis dari Thailand, Jepun, Korea, China dan India.

Menurut kenyataan rasmi Balai Seni Negara, pelanjutan pameran ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam menjadikan seni dan budaya sebagai medium diplomasi serantau yang berkesan.

“Pameran ini bukan sekadar menampilkan karya seni, tetapi turut memperkukuh hubungan serantau menerusi penghargaan terhadap warisan dan ekspresi budaya bersama,” menurut Unit Komunikasi Korporat, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.

Orang ramai dijemput hadir ke pameran yang dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang di Balai Seni Negara. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi www.artgallery.gov.my atau media sosial Balai Seni Negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat