Pameran Palet Budaya: Interaksi Seni dan Gastronomi dilanjutkan hingga 31 Mei

Balai Seni Negara dengan sukacitanya memaklumkan bahawa “Pameran Palet Budaya: Interaksi Seni Dan Gastronomi” dilanjutkan sehingga 31 Mei 2024.

Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dalam satu kenyataan berkata, pameran tersebut dilanjutkan berikutan ia mendapat permintaan yang menggalakkan dari pengunjung.

“Menurut rekod bermula dari Disember 2023 sehingga April 2024, pameran ini telah menerima 24,337 pengunjung.

“Palet Budaya: Interaksi Seni dan Gastronomi” merupakan pameran Koleksi Seni Negara yang menghimpunkan sebanyak 22 buah karya daripada pengkarya tempatan dan antarabangsa antaranya Syahrulfikri Razin Salleh, Ham Rabeah Kamarun, Zainuddin Abidin Hazir, Harris Abadi, Muhammad Hawari Berahim, Ismail Hashim, Pangrok Sulap dan turut terlibat merupakan pengkarya dari Filipina.

“Pameran ini bukan sekadar sebuah pameran lukisan tetapi ia membawa peminat seni visual melihat refleksi sejarah dan identiti budaya melalui makanan,” katanya.

Selain itu, pameran itu turut menggabungkan karya-karya seni terpilih dengan konsep yang memaparkan perhubungan erat antara seni, budaya, sosial, tradisi, dan ekonomi.

“Pengunjung dapat merenung kekayaan budaya yang tersembunyi dalam interaksi masyarakat melalui makanan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pameran tersebut juga menggambarkan identiti, pemikiran serta pengalaman dan ianya merupakan tempat terbaik buat para pengunjung untuk mengenal budaya Malaysia melalui seni.

Justeru itu, orang ramai dijemput untuk melawat pameran tersebut yang akan berakhir pada 31 Mei 2024 di Galeri 3A, Balai Seni Negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat