Oleh: Aliyaa Azmi
PANGGUNG Purnama bakal menyinari malam 28 September ini di Zepp Kuala Lumpur dengan gabungan tiga pemuzik serantau yang membawa warna tersendiri apabila Pamungkas dan Bilal Indrajaya dari Indonesia serta Fugo mewakili Malaysia.
Konsert yang pertama kali dianjurkan oleh UdaraLaskhar ini bukan sekadar persembahan muzik tetapi sebuah pertemuan lintas sempadan yang menjanjikan momen penuh emosi dan keintiman artistik.
Fugo menyifatkan peluang berkongsi pentas bersama Pamungkas dan Bilal sebagai ‘reunion manis’ yang bakal mencipta kenangan istimewa buat peminat.
“Walaupun September penuh dengan konsert, kami yakin Panggung Purnama tetap menonjol kerana menampilkan tiga pemuzik yang mempunyai peminat dan kekuatan tersendiri.
“Semoga kita berjumpa di Zepp Kuala Lumpur pada 28 September,” kata wakil penganjur UdaraLaskhar, John Labu.
Menambah keterujaan, Pamungkas memilih Panggung Purnama sebagai pentas pertama mempersembahkan single terbarunya berjudul ‘Sambung’ yang dijadual dilancarkan pada 12 September.
“Judulnya Sambung, itu single terbaru saya yang akan dipasarkan 12 September dan pertama kali saya bawakan secara langsung di Panggung Purnama,” katanya menerusi temu bual virtual di Bijou Cafe, Ara Damansara, baru-baru ini.
Selain lagu baharu, Pamungkas turut menjanjikan deretan karya popular yang telah lama menambat hati peminat.
Malah, kemungkinan gandingan istimewa bersama Bilal Indrajaya untuk lagu Yang Tercinta juga tidak ditolak.
“Ya, itu perlu saya minta izin dulu kepada Noh Salleh,” katanya berseloroh, mencetuskan harapan peminat untuk kolaborasi yang menyentuh jiwa.
Bilal dan Fugo pula giat membuat persiapan rapi, memastikan setiap detik persembahan meninggalkan kesan mendalam buat penonton yang hadir.
Tiket konsert dijual pada harga bermula RM179 hingga RM399 dan boleh didapati menerusi laman rasmi www.ilassotickets.com.








