Panas ‘lit lit’, hujan sedikit hingga September

Oleh: Dr Zamir Mohyedin

ULASAN | Panas teruk sangat, tak surut-surut sejak Mei itu hari. Dijangka benda ini berpanjangan sampai September.

Fenomana panas dan kering ini disebabkan angin monsun Barat Daya yang berlangsung dari Mei-Sept.

Macam mana angin monsun ini boleh bawa kepanasan?

Anda mungkin tidak tahu, musim ini biasanya menyebabkan hujan lebat, malah banjir di beberapa negara seperti India, Sri Langka dan Thailand. Musim ini penting untuk sektor pertanian di India.

Musim angin monsun barat daya terjadi pada musim panas di Asia. Musim panas bermaksud suhu di daratan lebih tinggi. Benda ini menyebabkan udara di sekeliling naik ke langit. Bila udara kurang, ia membentuk sistem bertekanan rendah.

Sistem bertekanan rendah akan menarik angin dan udara sejuk, terutamanya dari laut. Udara ini pula lazimnya lebih lembab sebab dari laut kan yang terhasil daripada penyejatan. Udara lembab ini membentuk awan, lalu hujan di banyak kawasan.

Angin dari laut ini lazimnya datang dari Lautan Hindi, bertiup ke India dan ke Asia Timur.

Di Asia Tenggara, yang hujan lebat sebab angin monsun Barat Daya ini termasuklah Thailand dan Filipina

Semenanjung Malaysia di Pantai Barat lazimnya tidak dapat angin lembab ini disebabkan oleh halangan Banjaran Barisan di Sumatera. Awan lembab dah banyak habis di sana dan bawa angin kering di Malaysia. Tuntas, taburan hujan sangat sikit pada musim ini – musim panas.

Sebab itu, ketika musim angin monsun Timur Laut, negeri pantai timur lazimnya banjir sebab angin lembab meniup secara langsung dari Laut China Selatan.

Untuk perhatian, cuaca panas tidak menyebabkan demam kerana demam biasanya disebabkan jangkitan virus dan bakteria. Tetapi cuaca panas kadang kala boleh timbulkan simptom serupa demam macam sakit kepala, sakit tekak dan lain-lain.

***Penulis adalah saintis dan juga penulis buku-buku berkaitan angkasa, kosmologi, alam semesta, bintang, planet, lohong hitam, jasad-jasad samawi dan pengembaraan masa

Anda Mungkin Berminat