TIKET konsert solo pertama penyanyi rap sensasi, TENXI, Panggung Puting Beliung TENXI, habis terjual sejurus dibuka untuk jualan pada Jumaat lalu, mencetuskan fenomena luar biasa dalam kalangan peminat yang digelar Tenxiholic.
Konsert yang dijadual berlangsung pada 10 Januari 2026 di Zepp Kuala Lumpur itu bakal menyaksikan gabungan dua ikon muda serantau, TENXI dan Naykilla, berkongsi pentas buat pertama kali di Malaysia.
Icon Entertainment menerusi hantaran di media sosial meluahkan rasa teruja dan terharu atas sokongan peminat yang membelinya dalam masa 30 minit sahaja.
“Syukur Alhamdulillah… SOLD OUT! Terima kasih Tenxiholic Malaysia!” tulisnya di Instagram.
Konsert yang akan bermula jam 8 malam itu menjanjikan persembahan berkonsep hipdut iaitu gabungan unik antara hip-hop, tradisi Nusantara dan elemen futuristik yang menjadi tanda tangan muzik TENXI dan Naykilla.
Tiket dijual pada harga antara RM130 hingga RM220, manakala kategori eksklusif Bintang 5 bernilai RM5,000 turut mendapat sambutan hangat.
Fenomena Panggung Puting Beliung turut memperlihatkan bagaimana TENXI dan Naykilla berjaya menggabungkan identiti tempatan dengan gaya global, membawa arus baharu muzik serantau yang digelar sebagai gelombang hipdut.
Baca juga:








