Dua Pangkalan Haram Rantau Panjang Diroboh, Tanda Komitmen Tegas Kawal Sempadan

RANTAU PANJANG: Usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan pergerakan haram di sepanjang Sungai Golok memasuki fasa baharu apabila pihak berkuasa melaksanakan Projek Rintis Perobohan Pangkalan Haram di dua lokasi utama iaitu di Pangkalan Haram MCA dan Pangkalan Haram Gergaji/Parking.

Operasi bersepadu yang berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari pada Rabu itu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa negeri dan persekutuan, sebagai langkah awal memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan negara.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Kelantan, Datuk Raisnan Daud, menyifatkan operasi itu sebagai bukti kesepakatan antara agensi kerajaan dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan.

“Operasi bersepadu ini menunjukkan kesepakatan antara agensi kerajaan dalam memastikan sempadan negara bebas daripada pencerobohan dan ancaman jenayah rentas sempadan,” katanya.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat bersama pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pahruradzi Ab Rahman dan Zulkifli Mat Deris, yang memantau secara langsung kelancaran operasi.

Menurut Mohd Yusoff, projek rintis itu hanyalah permulaan kepada operasi berskala besar yang bakal menyaksikan perobohan 216 pangkalan haram di sepanjang sempadan Rantau Panjang dalam tempoh dua bulan akan datang.

“PDRM dan semua agensi keselamatan komited memastikan sempadan negara tidak lagi menjadi laluan aktiviti penyeludupan.

“Ini soal keselamatan dan kedaulatan negara yang tidak boleh dikompromi,” tegas beliau.

Operasi turut disertai Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) serta pihak berkuasa tempatan.

Kerjasama erat antara agensi memastikan proses perobohan berjalan lancar dan mengikut tatacara yang ditetapkan.

Tiada insiden tidak diingini dilaporkan sepanjang operasi, menjadikan pelaksanaan peringkat awal ini sebagai model kejayaan tindakan bersepadu dalam memperkukuh kawalan sempadan.

Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menutup sepenuhnya pangkalan haram yang menjadi laluan utama penyeludupan barang kawalan, dadah dan kemasukan pendatang tanpa izin di kawasan sempadan Rantau Panjang.

Anda Mungkin Berminat