KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa darjah kebesaran dan pingat yang dikurniakan tidak seharusnya dilobi atau dibeli, sebaliknya diberikan hanya kepada individu yang benar-benar layak atas jasa dan khidmat bakti mereka kepada negara.
Titah baginda, penganugerahan pangkat seperti Datuk dan Tan Sri bukan sesuatu yang boleh dijadikan komoditi untuk dijual beli.
“Pangkat Datuk dan Tan Sri bukan untuk dibeli. Kalau ada yang banyak sangat duit, buatlah amal jariah bantu orang miskin,” titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian semasa Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi di Istana Negara, hari ini.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan komitmen untuk meneliti sendiri setiap calon yang dicadangkan bagi menerima darjah kebesaran, dengan hanya individu yang benar-benar layak akan dipertimbangkan.
“Mengikut telek pandang saya, hanya individu yang telah lama berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan, atau yang telah mengharumkan nama negara, wajar untuk diperkenankan.
“Memang setiap tahun tidak banyak yang melepasi syarat tersebut. Walaupun ada pihak yang melobi, saya tidak akan layan,” titah baginda.
Mengakhiri titah, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat serta semua pihak yang menjayakan sambutan Hari Keputeraan Rasmi tahun ini.
“Marilah kita berdoa agar negara Malaysia tercinta ini sentiasa dilimpahi rahmat dan diberkati, kekal aman, maju dan makmur,” titah baginda.
Bersempena Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Korban kepada seluruh umat Islam.