Panglima ATM Ketuai Delegasi Ke Thailand, Kemboja Sebagai Pendamai Serantau

PETALING JAYA: Thailand dan Kemboja telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat bermula jam 12 tengah malam, 28 Julai.

Dalam satu kenyataan media, hari ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan bahawa perjanjian itu dimeterai hasil Mesyuarat Khas yang dianjurkan oleh Malaysia, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai pemudah cara dalam meredakan ketegangan serantau di ASEAN.

“Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar telah mengetuai delegasi ke Thailand dan Kemboja bagi menjalankan perbincangan diplomatik dengan kedua-dua pihak,” katanya.

Walaupun gencatan senjata telah diumumkan, ATM berkata, beberapa insiden pertempuran kecil dilaporkan berlaku sejurus selepas pelaksanaannya.

Namun begitu, katanya, satu mesyuarat antara Komander Serantau dari kedua-dua negara yang berlangsung pada pukul 10 pagi tadi berjaya mencapai kesepakatan baharu untuk terus memelihara keamanan dan mengekalkan gencatan senjata.

ATM menjelaskan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melarang serangan terhadap orang awam, menghentikan penambahan kekuatan tentera, menyekat pergerakan pasukan ketenteraan dan memudahkan penghantaran anggota yang tercedera dan terkorban.

“Menubuhkan pasukan penyelaras yang terdiri daripada empat wakil daripada setiap pihak dan menunggu hasil perbincangan dan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am yang dijadualkan pada 4 Ogos 2025,” kata kenyataan itu.

ATM berkata, delegasi Malaysia dijadualkan meneruskan misi damai ke Phnom Penh, Thailand bagi sesi rundingan lanjutan bersama wakil kerajaan Kemboja.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia komited memainkan peranan sebagai pemudah cara demi memastikan keamanan dan kestabilan rantau ini kekal terpelihara.

Anda Mungkin Berminat