Panglima Tentera Darat bercuti serta-merta, beri laluan polis jalankan siasatan

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, mengambil cuti berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan sebelum ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah pentadbiran ini diambil untuk memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan.

“Langkah ini bertujuan memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan memastikan ia berjalan tanpa sebarang konflik kepentingan,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Khaled Nordin

Dalam perkembangan berkaitan, selaras dengan persaraan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar yang mencapai umur persaraan wajib, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain dilantik sebagai Pemangku Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa serta-merta.

Mohamed Khaled merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat, kepimpinan dan jasa Mohd Nizam sepanjang menerajui ATM serta mendoakan kelancaran urusan persaraannya.

Menteri Pertahanan menegaskan bahawa cuti Panglima Tentera Darat adalah langkah pentadbiran semata-mata dan bukan penghakiman terhadap individu, sebagai tanda komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan integriti dalam tadbir urus institusi tentera.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat