Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Rakyat Malaysia dihiburkan dengan gelagat usahawan dan pempengaruh terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri apabila berjaya menjual batu tungku organik sehingga laris.
Menerusi rakaman video di TikTok, Aliff Syukri dilihat bersemangat mempromosikan batu bersaiz besar sambil ditemani isteri tercinta, Datin Seri Shahida, yang setia di sisi seperti biasa.
Aliff atau lebih mesra disapa sebagai Datuk Terlajak Laris itu mendakwa bahawa batu berkenaan mempunyai kegunaan yang pelbagai.
“Kepada yang ada penyondol, rumah ada perompak, toyol, semua boleh pakai batu ini.
“Untuk orang dalam pantang pun boleh.
“Kalau rumah kamu ada perompak, ‘standby’ batu ini, baling saja. Nak sendal pintu boleh, batu nisan pun boleh, tak ada masalah,” katanya berseloroh.
Tidak cukup dengan itu, beliau turut menegaskan bahawa batu tersebut adalah batu asli dan bukannya bahan tiruan.
“Ini batu organik tau, kita memang cari batu yang betul-betul organik. Ini bukan plastik,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Shahida yang sering mempersoalkan kerenah pembeli barang yang dijual oleh suaminya dalam siaran langsung tersebut kelihatan mempersoalkan tindakan pembeli yang begitu pantas menghabiskan stok batu berkenaan.
“Siapa yang beli batu itu? Rumah kamu semua tak ada batu ke? Batu ini berat ya, kos penghantaran pun mahal,” katanya.
Tinjauan Malaysia Bangkit mendapati, rata-rata netizen bukan sahaja terhibur, malah memuji kebijaksanaan Aliff Syukri dalam mencari idea perniagaan yang di luar kotak.
“Adoi bijaklah Datuk, mesti bonda bangga tengok anak dia memang peniaga sejati,” komen @LalunaMart.
“Sama ada papalaris atau papazola, dua-dua tentang kebenaran mencari rezeki demi keluarga,” tulis seorang lagi pengguna, ZiraAmin.
Secara tidak langsung, apa sahaja yang dipromosikan oleh Alif Syukri pasti akan laris dijual malah menjadi perhatian rakyat Malaysia yang sememangnya tidak pernah jemu menonton.
Baca juga:








