KUALA LUMPUR: Penulis blog kontroversi, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 42, diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menghasut dengan niat menimbulkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim tahun lalu.
Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan dan keterangan sembilan saksi pendakwaan yang berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir pendakwaan.
“Setelah mengambil kira semua bukti yang dikemukakan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. Oleh itu, tertuduh diperintahkan membela diri,” katanya.
Tertuduh didakwa menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart Superstore Sdn Bhd menghadap Sultan Ibrahim melalui akaun X miliknya, “Sir Azri”, pada 29 April tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Bukit Bintang sekitar jam 12 tengah hari.
Papagomo dituduh mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Peguam bela, Muhammad Rafique Rashid Ali, memaklumkan bahawa anak guamnya akan tampil sebagai saksi tunggal pada peringkat pembelaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 November depan sebagai tarikh permulaan prosiding bela diri.
Baca juga: