PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyifatkan pelaksanaan dasar mewajibkan paparan harga ubat di klinik dan fasiliti kesihatan swasta sebagai satu langkah penting ke arah sistem kesihatan yang lebih telus, adil dan mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FOMCA, Saravanan Thambirajah berkata, ketelusan harga bukan sekadar isu teknikal, malah merupakan tonggak utama dalam memastikan keadilan sosial dan ekonomi dalam sektor perubatan.
“Selama ini, ketidaktentuan harga ubat menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kos rawatan keseluruhan atau lebih dikenali sebagai inflasi perubatan.
“Ketiadaan mekanisme pendedahan harga membolehkan penyedia perkhidmatan menaikkan harga tanpa pengawasan, meletakkan pengguna dalam kedudukan lemah tanpa ruang untuk membuat perbandingan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Jumaat.
Beliau menegaskan bahawa dasar baharu ini akan mewujudkan persekitaran pasaran yang lebih telus, seterusnya mengawal lonjakan harga ubat secara sistematik.
“Apabila harga ubat dipaparkan secara terbuka, persaingan sihat akan berlaku dan penyedia perkhidmatan perlu menetapkan harga yang munasabah. Ini secara langsung membantu mengekang inflasi perubatan dan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat,” katanya lagi.

Selain impak makro terhadap ekonomi kesihatan negara, Saravanan turut melihat dasar ini sebagai satu perubahan besar di peringkat mikro, khususnya bagi pengguna dan klinik swasta.
“Pengguna kini mempunyai hak untuk tahu harga ubat sebelum membuat keputusan. Ini memperkukuh dua hak asas pengguna, hak untuk maklumat dan hak untuk memilih.
“Mereka boleh membandingkan harga antara klinik, merancang perbelanjaan dan mengelak daripada dikenakan bayaran yang tidak munasabah,” ujarnya.
Bagi penyedia perkhidmatan, dasar paparan harga ubat mungkin menjejaskan margin keuntungan, namun kata Saravanan, ia membuka peluang membina kepercayaan jangka panjang dengan pesakit.
Beliau turut menyifatkannya sebagai langkah strategik membentuk budaya kesihatan baharu yang lebih telus, beretika dan berpusatkan pengguna.
Baca juga:








