Oleh: Kamilia Ali
PARIS: Jaguh sukan lompat jauh T20 para negara, Datuk Abdul Latif Romly, meluahkan rasa kecewa berkaitan kecederaan otot perut di bahagian kiri sejak beberapa hari lalu dan mengganggu usahanya untuk meraih emas hatrik di Sukan Paralimpik 2024.
Latif terpaksa akur mendapat pingat perak selepas mencatat lompatan sejauh 7.45 meter (m), manakala, Matvei Lakushev dari Paralimpik Neutral meraih emas dengan lompatan 7.51m, mencantas catatannya.
Atlet berusia 27 tahun itu mengesan kecederaan yang dialaminya semasa latihan yang menyebabkan kesukaran bernafas semasa lompatan di Stade de France.
“Kalah menang adat pertandingan, apa-apa boleh berlaku walaupun dalam lompatan terakhir sekali pun, saya redha dengan keputusan hari ini.
“Seminggu sebelum pertandingan memang saya yakin, dalam latihan pun pernah buat 7.60m ke atas namun Rabu lepas otot perut kiri tertarik, memang sangat sakit,” katanya sejurus selepas upacara penyampaian pingat.

Walaubagaimanapun, Latif menyatakan bahawa kecederaan tersebut menjejaskan keyakinannya kerana menyedari Lakushev kini menduduki ranking pertama tahun ini, mampu memberi tentangan sengit di Paris 2024.
Sebelum ini, Lakushev telah membuat catatan musim terbaik dengan melakukan 7.41m pada satu kejohanan di Yekaterinburg, Rusia pada Jun, manakala Latif Romly pula berada di tempat kedua dengan catatan 7.30m ketika merangkul emas Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, Mei lepas.
Baca juga: