TEHRAN: Ketegangan serantau terus memuncak apabila Parlimen Iran mengesahkan kelulusan langkah untuk menutup Selat Hormuz, laluan tenaga paling kritikal di dunia, sebagai tindak balas terhadap serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas tiga tapak nuklear utama Iran.
Langkah itu diumumkan selepas operasi besar-besaran tentera AS pada hujung minggu lalu yang dikenali sebagai ‘Operation Midnight Hammer’ yang menyasarkan fasiliti nuklear di Fordow, Natanz dan Isfahan.
Serangan itu mencetuskan gelombang kecaman dan kebimbangan global, malah mendorong Iran mengambil tindakan drastik di perairan Teluk.
“Parlimen telah mencapai kesimpulan bahawa Selat Hormuz perlu ditutup tetapi keputusan akhir terletak pada Majlis Keselamatan Negara Tertinggi,” kata Esmail Kowsari, komander kanan Pengawal Revolusi yang kini juga memegang jawatan Ahli Parlimen.
Selat Hormuz menjadi nadi kepada kira-kira 20 peratus eksport minyak dan gas dunia yang menjadikannya antara laluan paling strategik di dunia.
Sebarang gangguan di laluan itu berpotensi melonjakkan harga minyak global dan mencetuskan krisis ekonomi berskala besar, melampaui impak perang di Ukraine dan krisis Covid-19 digabungkan, menurut beberapa penganalisis tenaga.
Presiden AS Donald Trump sebelum ini berkata, serangan udara itu telah “memusnahkan sepenuhnya” keupayaan nuklear Iran, namun Pentagon masih menjalankan penilaian kerosakan menyeluruh di lokasi.
Langkah penutupan Selat Hormuz itu dijangka akan dibahaskan secara intensif oleh Majlis Keselamatan Negara Iran dalam tempoh terdekat.
Dalam masa yang sama, dunia terus memerhati rapat perkembangan ini yang boleh mengheret rantau Timur Tengah ke dalam konflik berskala penuh.