KUALA LUMPUR: Institusi legislatif perlu mengadaptasi penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab bagi meningkatkan kecekapan penggubalan undang-undang serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata pendekatan itu penting bagi memastikan keseimbangan antara inovasi teknologi, pengawasan dan keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
“Walaupun banyak parlimen menyatakan hasrat untuk mengadaptasi AI, pengukuhan asas digital perlu diberi keutamaan, termasuk aspek pengurusan data, tadbir urus dan peningkatan kemahiran warga perkhidmatan parlimen.
“Peranan Parlimen sebagai institusi semak dan imbang perlu diperkasakan melalui penggunaan teknologi yang disokong oleh dasar dalaman serta tatacara penggunaan AI yang jelas bagi memperkukuh proses legislatif dan mengekalkan kepercayaan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan sempena Persidangan Speaker dan Pegawai Parlimen Komanwel (CSPOC) ke-28 yang disertai wakil daripada 52 negara Komanwel.
Beliau turut memaklumkan Parlimen Malaysia kini meneroka beberapa projek perintis AI sejajar dengan pendekatan AI berteraskan tanggungjawab sosial dan etika Ahli Parlimen.
Usaha itu diperkukuh melalui pelaksanaan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Parlimen dan AI Bertanggungjawab, yang menekankan kepentingan pengawasan demokratik serta pembangunan kapasiti AI melalui kerjasama dengan rakan antarabangsa.
Baca juga:








