Parlimen sah luluskan Akta Laut Wilayah 2012

Kerajaan Persekutuan menegaskan bahawa Akta 750 telah dibuat dan diluluskan oleh Parlimen secara sah di sisi Perlembagaan Persekutuan menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada Sabtu.

Kenyataan yang dikeluarkan tersebut adalah berikutan laporan menyatakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu telah menolak pemakaian Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750).

“Tujuan Akta 750 ini digubal adalah bagi mengadakan peruntukan mengenai laut wilayah Malaysia dan memelihara keutuhan sempadan wilayah.

“Dalam masa sama, memelihara hak kedaulatan Malaysia serta bagi menjamin keutuhan keselamatan dan integriti wilayah,” katanya menerusi kenyataan itu.

Dalam pada itu, penggubalan Akta 750 juga adalah bagi memenuhi obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 (United Nations Conventions on the Law of the Sea (UNCLOS).

“Walaupun DUN Terengganu telah membuat keputusan menolak pemakaiannya, namun, ia masih sah dan terpakai di seluruh Malaysia termasuk di Negeri Terengganu, melainkan ia diisytiharkan sebaliknya oleh mahkamah,” katanya lagi.

Sehubungan itu, selaras dengan nilai-nilai Malaysia MADANI, menurut kenyataan tersebut Kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan peruntukan pembangunan kepada semua negeri termasuk Terengganu.

Justeru itu, Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab dan sentiasa memastikan hak kedaulatan Malaysia termasuk perairan Malaysia sentiasa dilindungi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat