WASHINGTON: Beberapa barisan senator Parti Demokrat di Amerika Syarikat (AS) menzahirkan rasa bimbang yang serius terhadap hala tuju perang negara itu bersama Iran, selepas menghadiri beberapa sesi taklimat sulit oleh pegawai pentadbiran Presiden Donald Trump.
Memetik Al Jazeera pada Rabu, sehingga kini Rumah Putih masih belum memberikan penjelasan yang jelas mengapa AS terlibat dalam konflik tersebut, tentang matlamat sebenar operasi ketenteraan itu, dan berapa lama ia dijangka berlarutan dalam melawan Iran.
Susulan itu, kumpulan senator Demokrat kini mendesak agar sidang pendengaran awam diadakan supaya rakyat AS dapat mengetahui dengan lebih telus mengenai keputusan untuk memasuki konflik tersebut.
Di Senat ketika ini, Parti Republikan memegang majoriti tipis 53 berbanding 47 kerusi Demokrat, sekali gus memberi mereka kelebihan dalam menentukan agenda perbahasan dan rang undang-undang yang dibawa ke dewan.
Selepas taklimat tertutup terbaru, beberapa ahli Demokrat dilihat semakin kecewa kerana merasakan banyak persoalan asas masih belum dijawab.
Katanya juga, kebimbangan itu juga timbul ketika Donald Trump tidak menolak kemungkinan menghantar tentera darat AS ke Iran.
Manakala, Senator Chris Murphy dari Connecticut pula berkata taklimat sulit selama kira-kira dua jam yang dihadirinya pada Selasa menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
“Selepas mendengar taklimat itu, saya semakin yakin bahawa strategi yang ada sekarang tidak jelas dan bercelaru,” katanya.
Murphy turut menegaskan bahawa mengikut Perlembagaan AS, Presiden sepatutnya mendapatkan kebenaran Kongres sebelum melancarkan peperangan.
Menurut beliau, jika perkara itu dilakukan, kemungkinan besar kongres tidak akan meluluskannya kerana rakyat AS sendiri mungkin akan mendesak wakil mereka untuk menolak perang tersebut.
Beberapa pegawai kanan pentadbiran, termasuk Setiausaha Negara Marco Rubio dan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth, telah beberapa kali mengadakan taklimat tertutup kepada ahli Kongres bagi menjelaskan perkembangan kempen ketenteraan itu.
Namun, dek kerana taklimat tersebut diklasifikasikan sebagai rahsia, para penggubal undang-undang tidak dibenarkan mendedahkan secara terperinci maklumat yang mereka terima kepada orang ramai.
Baca juga:








