Parti Lokal Wajar Jadi Teras Kerajaan Negeri – Armizan

KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa parti lokal wajar menjadi teras kepada Kerajaan Negeri, manakala parti nasional kekal menerajui Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, model politik itu penting bagi memastikan urusan antara negeri dan Persekutuan dijalankan secara antara kerajaan (inter-governmental), bukan secara dalaman parti (intra-party) yang berisiko mengabaikan kepentingan negeri.

“Kadang kala isu negeri boleh disenyapkan hanya kerana tidak selari dengan pendirian parti nasional,” katanya ketika merasmikan Persidangan Tahunan PGRS DUN Darau.

Armizan turut merujuk kepada isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai contoh yang menurutnya hanya diberi perhatian selepas berlaku perubahan kepimpinan di peringkat Persekutuan.

“Kalau hubungan negeri dan Persekutuan ditentukan melalui struktur kerajaan, agenda negeri akan terus mendapat tempat tanpa bergantung pada siapa yang jadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, kebergantungan kepada sikap individu pemimpin tidak mencukupi sebaliknya perlu disandarkan kepada struktur hubungan yang jelas dan stabil.

Dalam ucapannya, Armizan turut mengangkat prinsip ‘Sabah First’ sebagai asas perjuangan GRS yang meletakkan kepentingan Sabah mengatasi kepentingan parti.

“Kita tidak menolak kerjasama dengan parti nasional.

“Tapi biarlah parti lokal diberi ruang jadi teras pentadbiran negeri,” jelasnya.

Katanya, GRS bersikap terbuka untuk bekerjasama dalam pilihan raya negeri, namun menegaskan bahawa parti nasional perlu menghormati hasrat parti lokal untuk bertanding lebih banyak kerusi.

“Kamu pimpin Kerajaan Persekutuan, kami akan sokong. Tapi biar kami pimpin Kerajaan Negeri,” katanya lagi.

Model ini, katanya, telah pun diamalkan melalui kerjasama GRS + PH Plus di Sabah ketika ini.

Anda Mungkin Berminat