Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Rakyat Perlis kini menjadi mangsa tebusan politik ekoran perbalahan dalaman yang berterusan antara PAS dan Bersatu dalam pentadbiran negeri itu.
Menurut kenyataan media oleh Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar, konflik yang melibatkan barisan pimpinan kerajaan negeri, pertentangan sesama Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN) itu mencerminkan kegagalan parti itu dalam menguruskan mandat yang diberikan oleh rakyatnya.
“Krisis ini bukan baru, tetapi telah berlarutan lebih setahun. Pelbagai pertukaran kepimpinan dilakukan Pesuruhjaya PAS ditukar, Pengerusi PN dilantik baru, rundingan tertutup diadakan namun semuanya gagal.
“Ini membuktikan satu hakikat yang tidak boleh disangkal masalah sebenar ialah perebutan kuasa dalaman PAS dan kegagalan PN mengawal gabungan sendiri,” katanya pada Jumaat.
Kata Mahfuz, perkara ini amat memalukan kerana Perlis merupakan negeri yang kecil dan kini dilihat mempunyai tata kelola politik yang paling tidak stabil
“Jika negeri sekecil ini pun gagal diurus, ia menunjukkan ketidaklayakan mentadbir,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan situasi itu sebagai episod “tebuk atap” sesama sendiri, apabila wakil rakyat daripada parti dan gabungan sama hilang kepercayaan terhadap kepimpinan mereka, sekali gus menandakan kegagalan total kepimpinan politik PAS dan PN.
Dakwa beliau, imej politik Islam yang sering dibawa PAS kian terjejas sejurus berlakunya perebutan pengaruh dalaman berlaku secara terbuka dan berpanjangan, sedangkan isu pentadbiran negeri terabai.
“Rakyat Perlis hari ini dijadikan mangsa kepada perbalahan dalaman yang tidak berkesudahan.
“Keyakinan rakyat runtuh dan pentadbiran negeri terganggu kerana kerakusan kuasa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan PAS gagal mentadbir manakala PN pula gagal mengawal gabungan, sambil menggesa agar kepentingan rakyat Perlis diutamakan dan negeri itu diselamatkan daripada krisis politik berlarutan.
Baca juga:








