KUALA LUMPUR : PKR menyifatkan tindakan PAS mempolitikkan kematian remaja, Allahyarhamah Zara Qairina, sebagai langkah “dangkal” dan tidak menghormati keluarga mangsa.
Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berkata kenyataan Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff yang menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meletakkan jawatan hanyalah usaha menangguk di air keruh.
“Adalah jijik apabila sebuah parti yang mendukung imej Islam memilih untuk mempolitikkan isu kematian yang sepatutnya mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, Saifuddin segera mengambil tindakan dengan menubuhkan pasukan siasatan khas dari Bukit Aman serta menggerakkan proses inkues bagi mengenal pasti punca kematian, sebaik sahaja kelemahan siasatan awal dikenal pasti.
Menurutnya, kelewatan dan kelemahan dalam siasatan awal bukan berpunca daripada menteri, sebaliknya akibat kegagalan pegawai penyiasat. PDRM sendiri telah mengakui kecuaian itu dan tindakan tatatertib bakal diambil terhadap mereka yang terbabit.
“Kenyataan Nurul Islam hanya akan merencatkan usaha membawa pelaku sebenar ke muka pengadilan. PAS sepatutnya menghormati perasaan keluarga Allahyarhamah dan tidak menunggang isu ini untuk kepentingan politik,” katanya.
Kes kematian Zara Qairina, 13 mendapat perhatian umum selepas timbul isu kelewatan bedah siasat sehingga mencetuskan persoalan mengenai prosedur siasatan pihak berkuasa.
Baca juga: