Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Blok pembangkang digesa supaya menghentikan taktik menghasut rakyat melalui sentimen terhadap isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), penyasaran subsidi serta tarif elektrik yang dijadikan bahan protes politik seperti perhimpunan ‘Turun Anwar’.
Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, isu-isu yang dipolitikkan oleh pembangkang tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Perpaduan untuk memperkukuh asas ekonomi negara dan mengelak ketirisan serta pemborosan dalam jangka panjang.
“Kita tidak boleh terus hidup dengan subsidi pukal yang turut dinikmati oleh golongan kaya dan warga asing. Itu bukan keadilan.
“Itu kebocoran. Maka penyesuaian dilakukan supaya bantuan hanya sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mahfuz turut menyifatkan pembangkang, khususnya PAS sebagai tidak mempunyai rancangan ekonomi yang realistik, meskipun mentadbir beberapa negeri.
“Di negeri yang mereka (PAS) kuasai iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, bekalan air terus dalam krisis dan peluang pekerjaan terhad.
“Pengurusan dan pembangunan negeri pun sebahagian dibantu oleh Kerajaan Persekutuan.
“Tapi mereka (pembangkang) mahu tunjuk pandai dalam hal ekonomi negara,” ujarnya.
Beliau turut mengkritik himpunan politik yang disifatkan sekadar usaha mobilisasi penyokong tegar demi kepentingan sempit parti dan bukannya suara rakyat yang sebenar.
“PAS memainkan elemen membakar ekonomi dan sentimen oleh penyokong tegar PN/PAS ketika pelabur asing kembali yakin.
“Ketika mana inflasi terkawal, di saat negara sedang bangkit, mereka bawa Malaysia ke kancah ketidakstabilan semula,” tegas Mahfuz.
Tambah beliau lagi, rakyat kini semakin matang dan tidak mudah termakan dengan politik jalanan yang bermotifkan emosi sempit tanpa fakta kukuh.
“Politik bukan sekadar di jalan raya. Politik adalah keberanian dalam membuat keputusan yang sukar demi masa depan rakyat dan negara,” katanya.