PAS Hipokrit Desak PM Letak Jawatan, Gagal Konsisten Dalam Isu Pemimpin Sendiri – Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR : Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil menyifatkan desakan PAS supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Yusoff Rawther sebagai tindakan hipokrit dan bermotif politik.

Menurut Faiz, kenyataan yang dibuat Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kononnya bagi menjaga integriti siasatan adalah tidak konsisten.

Memandangkan tiada desakan sama dilakukan terhadap pemimpin PAS yang sebelum ini disiasat dan didakwa, termasuk dalam kes menghina institusi Diraja di bawah Akta Hasutan.

“PAS menggunakan hujah integriti untuk mendesak Perdana Menteri berundur tetapi dalam masa sama tidak mengamalkan prinsip yang sama apabila melibatkan pemimpin mereka sendiri. 

“Ini jelas menunjukkan sikap ‘double standard’ dan niat membina persepsi jahat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Faiz dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah bahawa keputusan Mahkamah Tinggi semalam seharusnya menunjukkan bahawa Perdana Menteri tidak mencampuri urusan badan kehakiman, sekaligus memperkukuh prinsip pemisahan kuasa yang menjadi teras kepada agenda reformasi kerajaan MADANI.

Faiz turut menyangkal dakwaan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal menyiasat kes tersebut, dengan merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang menyatakan bahawa siasatan telah dilakukan seawal peringkat laporan dibuat.

“Dakwaan bahawa saman boleh dikemukakan terhadap Polis kerana tidak menyiasat Anwar tidak berasas. 

“Untuk menyaman pihak Polis, perlu ada bukti wujudnya niat jahat (malicious intent), sedangkan tiada sebarang campur tangan Perdana Menteri dalam penyiasatan tersebut,” jelas beliau.

Beliau turut memetik prinsip undang-undang yang digariskan dalam kes PP v Mohamed Ali (1962) yang menekankan bahawa keterangan pihak polis yang tidak bercanggah atau meragukan sepatutnya diterima sebagai sah.

“Tindakan PAS mempolitikkan keputusan Mahkamah Tinggi ini hanyalah untuk meraih kepentingan politik sempit dan menyerang kredibiliti Perdana Menteri secara tidak adil. 

“Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi perlu juga dilihat dilaksanakan,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat