PAS jangan salah guna bai’ah dan wala’ tundukkan ahli parti – Amanah

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: PAS seharusnya tidak menjadikan konsep bai’ah dan wala’ sebagai alat untuk menundukkan ahli partinya tanpa soal terhadap kepimpinan politik.

Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar, penulisan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang bertajuk “Politik Tidak Berpisah Daripada Islam” yang dimuat naik di Facebook rasminya itu berpotensi membawa impak serius terhadap kefahaman Islam dan amalan demokrasi negara.

Tegas Mahfuz, penulisan Hadi Awang itu turut membawa mesej politik yang boleh ditafsir sebagai usaha meletakkan kesetiaan kepada parti setara dengan kewajipan agama.

Kata beliau, keadaan lebih membimbangkan apabila parti politik dipersembahkan sebagai wakil mutlak Islam, sehingga kritikan terhadap parti dilabel sebagai penentangan terhadap agama.

“Apabila kritikan politik dianggap sebagai dosa atau pengkhianatan agama, ia bukan lagi dakwah tetapi tekanan moral yang berselindung di sebalik nas dan sejarah,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Jumaat.

Jelas beliau, saat ini merupakan titik paling berbahaya dalam politik apabila parti dipersembahkan sebagai wakil mutlak Islam, dan sesiapa yang mengkritik parti dilabel sebagai jahil, sesat, khadam syaitan atau musuh agama.

“Islam tidak pernah mengajar wala’ membuta tuli, apatah lagi menjadikan kritikan politik sebagai dosa atau pengkhianatan agama.

“Sejarah ulama’ besar yang disebut seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi‘i dan Imam Ahmad adalah sejarah menentang kezaliman kuasa, bukan mengabsahkan kuasa atas nama agama,” ujarnya.

Kata beliau lagi, PAS sememangnya berhak berjuang atas dasar Islam namun tidak berhak memonopoli tafsiran Islam, apatah lagi menjadikan perbezaan pandangan politik sebagai dosa atau pengkhianatan agama.

“Apabila kritik terhadap parti disamakan dengan penentangan terhadap Islam, maka agama dijadikan perisai politik, kesilapan kepimpinan tidak boleh ditegur, dan demokrasi dianggap ancaman kepada iman,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mahfuz menegaskan semua parti politik kekal sebagai entiti ciptaan manusia yang wajar dinilai, ditegur dan diterima atau ditolak oleh rakyat melalui proses demokrasi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat