PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menyelar tindakan Pas yang didakwa terus menjaja fitnah berhubung Perjanjian Perdagangan Tindak Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), kononnya sebagai langkah menjual negara.
Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan mencerminkan kejahilan Pas terhadap intipati sebenar perjanjian tersebut.
“Dari gaya mereka bercakap, jelas mereka sendiri tidak faham apa isi perjanjian tersebut tetapi tetap mahu jadi juru tafsir konspirasi.
“Bila tak boleh berhujah, mereka pilih jalan bising.
“Inilah penyakit lama Pas, kalau bukan ceramah atas tikar sejadah, semua benda dikira ancaman akidah,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Mahfuz berkata, ART sebenarnya membuka peluang kepada pelaburan, pemindahan teknologi dan penciptaan pekerjaan untuk rakyat, selaras dengan arus kemajuan global.
“Dunia sedang bergerak ke depan, tapi Pas masih sibuk ukur panjang jubah.
“Bila rakyat naik taraf hidup, mereka tuduh terpengaruh Barat.
“Bila kerajaan buka pintu kemajuan, mereka kata jual negara.
“Nampaknya, apa-apa yang ada unsur naik memang musuh Pas termasuklah kemajuan, pemikiran dan tren ART,” jelasnya.
Beliau turut mengkritik tindakan Pas yang kini dilihat lebih cenderung kepada agenda politik sempit termasuk usaha menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui himpunan Turun Anwar 2.0.
“Himpunan Turun Anwar 2.0 bukan perjuangan rakyat tapi terapi politik untuk puak yang kehilangan hala tuju.
“Mereka (Pembangkang) sudah lama turun cuma tak sedar diri belum naik semula.
“Kalau mereka betul-betul faham erti kedaulatan, mereka tak akan jadikan kejahilan sebagai bahan bakar politik,” ujarnya.
Mahfuz berkata, kerajaan hari ini memelihara maruah dan kedaulatan negara dengan memperkukuh hubungan antarabangsa secara matang dan berprinsip
“Malaysia tidak tunduk kepada AS, sebaliknya berdiri sama tinggi sebagai rakan strategik dalam dunia yang saling bergantung.
“Inilah semangat Malaysia Madani berpaut pada kekuatan sendiri tanpa menutup pintu kepada kerjasama global yang membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau menambah secara sinis, jika Pas terus menolak kemajuan, mungkin mereka boleh membina satu versi baharu ART khas untuk diri mereka sendiri.








