PAS Kini Menyimpang Jauh, Muktamar Penuh Kebencian – Saifuddin

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa PAS di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang telah menyimpang jauh daripada perjuangan asal yang diasaskan oleh tokoh-tokoh terdahulu.

Antara tokoh-tokoh dinyatakan Saifuddin ialah Tan Sri Nik Aziz Nik Mat, Prof Dr Zulkifli Muhammad, Dr Burhanuddin Al Hilmi, Datuk Fadzil Mohd Noor dan Yusuf Rawa.

Ini kerana katanya, Muktamar Tahunan ke-70 PAS yang berlangsung minggu lalu didakwa mencatat sejarah dan kemuncak politik kebencian parti itu yang membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun dalam kalangan masyarakat.

“Segala bentuk cacian dan kebencian telah dihidangkan oleh para pemimpin PAS dalam ucapan dan resolusi mereka pada muktamar tahunan parti itu.

“Identiti Hadi Awang sudah sinonim dengan politik kebencian dan menyemarakkan fenomena takfir di negara ini.

“Lidahnya tidak letih mencaci-cerca saingannya dan sangat liberal menggunakan label kafir, nifaq, agen Barat, Freemason dan lain-lain terhadap mereka yang tidak disukainya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Hadi Awang dalam ucapan dasar mendakwa pentadbiran Kerajaan Perpaduan seperti meneruskan agenda sebagaimana golongan munafik pada zaman awal Islam di Madinah.

“Daripada sudut agama, adalah tidak wajar untuk menuduh sesiapa sebagai munafik kerana keimanan seseorang hanya diketahui Allah dan kita sebagai manusia tidak mempunyai hak atau kemampuan untuk menilai keimanan orang lain.

“Perlu diingatkan bahawa semasa PAS dalam Kerajaan Persekutuan (2020-2022), tiada usaha untuk mengharamkan arak dan perjudian, menunjukkan isu ini lebih kompleks.

“30 bulan lebih PAS menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuktikan di sebalik retorik-retoriknya, PAS sebenarnya lompong dan ketandusan idea dalam memimpin dan membangunkan negara.

“Kegagalan ini jelas apabila rakyat sendiri terpaksa memulakan kempen ‘bendera putih’ untuk membantu sesama sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Saifuddin, walaupun PAS kini memerintah empat negeri dengan sebahagiannya majoriti penuh, tindakan serupa masih belum diambil.

Jelas katanya, ini membuktikan bahawa pelaksanaan dasar memerlukan pertimbangan lebih luas dan PAS kekurangan idea dalam memimpin sesebuah negara.

Tambahnya lagi, ahli PAS pasti menitiskan air mata melihat parti itu mengalami kemerosotan termasuk kegagalan Abdul Hadi mempertahankan kemenangan di Terengganu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, yang menyaksikan pemimpin berusia 76 tahun itu hanya menjadi Menteri Besar untuk tempoh sepenggal sahaja.

“Abdul Hadi hanya dikenang kerana kepimpinan yang tidak kompeten dan lemah.

“Adakah ahli-ahli PAS sedar bahawa di sebalik hujah-hujah disaluti al-Quran dan hadis adalah sikap-sikap dan tindak-tanduk yang sebenarnya menyeleweng daripada ajaran Islam?

“Adakah pengikut dan pemimpin PAS sedar bahawa nilai, pendirian, risalah dan pendekatan mereka semakin menyerupai golongan Khawarij dan Hadi Awang bertanggungjawab sepenuhnya menyemai nilai-nilai dan amalan-amalan ini sejak 40 tahun dahulu?” soalnya.

Anda Mungkin Berminat