Pas Masih Bawa Politik Perkauman Sempit Dan Retorik Pecah Belah, Kata Pemimpin DAP

PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Syahredzan Johan menggesa rakyat Malaysia agar menolak politik perkauman sempit yang didakwa masih dibawa oleh Pas, susulan kenyataan kontroversi oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary berhubung sejarah Palestin.

Dalam satu kenyataan, Syahredzan menyelar hantaran Facebook Ahmad Marzuk bertajuk ‘Belajar dari Sejarah Palestin: Jangan Kita Ulangi Kesilapan yang Sama’, yang menurutnya memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia bukan Melayu dan bukan Islam sebagai ancaman kepada masyarakat Melayu dan muslim.

“Pemimpin Pas seperti Datuk Marzuk sanggup memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia yang bukan Melayu dan Islam sebagai musuh dalam selimut yang mempunyai agenda jahat terhadap orang Melayu dan muslim.

“Jelas bahawa Pas masih membawa perkauman sempit dan memecahbelahkan masyarakat.

“Rakyat Malaysia yang mencintai negara kita yang berbilang bangsa diseru untuk menolak politik lapuk seperti ini,” katanya.

Menurut Syahredzan, Ahmad Marzuk dalam ucapannya telah menyeru umat Islam agar mengambil iktibar daripada sejarah Palestin dengan mendakwa bahawa rakyat Palestin menjadi mangsa kezaliman selepas menerima pendatang Yahudi atas dasar kemanusiaan.

Beliau turut menyatakan bahawa tanda-tanda serupa kini wujud di Malaysia.

“Datuk Ahmad Marzuk kemudian mendakwa bahawa tanda-tanda perkara yang sama dengan apa terjadi di Palestin, kini dapat dilihat di tanah air kita sendiri,” ujarnya.

Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi berkata, kenyataan tersebut secara tidak langsung menyifatkan golongan bukan Melayu dan bukan Islam sebagai pelaku yang berpotensi menindas masyarakat Melayu dan Islam di negara ini.

“Bezanya di sini, pelakunya adalah golongan bukan Melayu dan bukan Islam,” katanya.

Syahredzan turut mengingatkan bahawa Malaysia dibina atas semangat kebersamaan pelbagai kaum dan agama dan pemimpin seperti Ahmad Marzuk tidak wajar mempersoalkan keikhlasan golongan bukan Melayu dan bukan Islam dalam membina negara.

“Maka pemimpin Perikatan Nasional seperti Ahmad Marzuk tidak wajar dan tidak berhak mempersoalkan keikhlasan mereka demi politik sempit,” jelasnya.

Anda Mungkin Berminat