Oleh: Nik Nazmi Nik Ahmad
ULASAN | PAS sedang mencari jalan untuk kekal relevan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya untuk segmen pengundi Melayu selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Memahami strategi PAS pada hari ini tidaklah sukar. Mereka meratibkan elemen kaum dan agama bagi meraih sokongan pengundi.
Bandingkan PAS dengan susur galur hebatnya pada era Dr Burhanuddin al-Helmy, Asri Muda, Yusuf Rawa, Fadzil Noor, dan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat – yang mampu menjalinkan semangat Islam dengan prinsip keadilan dan pragmatisme dalam konteks Malaysia. PAS pada hari ini hanya menyempitkan mesej mereka.
Sejak akhir-akhir ini, PAS seperti kehilangan arah, manakala rakan-rakan mereka di PN tidak membantu usaha ini.
Pemimpin-pemimpin BERSATU, yang merupakan rakan terpenting PAS, lebih banyak menghabiskan masa di mahkamah berbanding bilik-bilik mesyuarat dan semakin disisihkan oleh pimpinan PAS sendiri.
Ketika PAS sedang buntu mencari idea untuk menonjol, muncul kritikan “Pemimpin PAS bukan malaikat” daripada perwakilan Perlis ketika Muktamar Tahunan PAS ke-70. Kritikan tentang kualiti ketua-ketua negeri di bawah adalah berasas dan gagal dikawal dengan baik oleh PAS.
Sebut sahaja nama ‘Sanusi,’ sudah tentu kita akan menggambarkan seorang pemimpin yang hanya tahu menghina pihak lawan dan gagal mentadbir Kedah.
PAS yang merupakan sebuah parti dengan alahan terhadap kritikan, sudah tentu cemas mendengar ada di antara perwakilan mereka yang ‘derhaka’ kepada pimpinan.
Kritikan ini cuba dijawab oleh Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari yang mengeluarkan kenyataan bahawa PAS adalah parti demokratik dan terbuka dalam menerima sebarang kritikan.
Seandainya benar PAS bersifat terbuka dalam hal ini, mengapa ada larangan dalam kalangan ahli parti sendiri yang berbunyi, “jangan jadi pembangkang dalam kerajaan sendiri?”
PAS kini berada dalam tekanan yang tinggi kerana ketandusan idea untuk ‘menjual’ agama pada era Malaysia Madani.
Anwar lantang dalam isu kebencian terhadap Islam atau Islamofobia dan jauh ke depan berbanding majoriti besar pimpinan negara-negara Islam dalam mengambil pendirian terhadap keganasan rejim Zionis Israel.
Sudah tentu kita boleh bertanya, apa yang dilakukan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam memperjuangkan agama dan saudara kita ketika beliau diberi amanah sebagai Duta Khas Timur Tengah dengan gaji menteri dalam kerajaan sebelum ini?
Kebanyakan pemimpin PAS hanya pandai berceramah, tetapi tindakan mereka tidak didasari ilmu.
Kita dapat melihat tindakan mereka masih jauh berbeza jika dibandingkan dengan usaha PMX membina jaringan dan meluaskan ruang ilmu, serta menganjurkan majlis-majlis ilmu yang dikunjungi oleh tokoh-tokoh ilmu dan sarjana intelektual terkenal antarabangsa seperti Prof Dr Jasser Auda, Dr Omar Suleiman, Dr Muhammad al-Qaradawi, dan ramai lagi.
Golongan ulama dan pelajar-pelajar aliran agama dalam negara juga sering didekati dan diraikan dengan cukup meriah.

Sudah banyak sumber yang menceritakan mengenai kejelasan fikrah Anwar dalam memelihara dan mengangkat martabat agama Islam, tanpa menyempitkan wacana politik dan menanam kebencian yang akhirnya merosakkan imej Islam sendiri.
PMX serius dalam memperjuangkan Islam, namun menghormati hak rakyat bukan Islam sebagaimana diajar oleh agama kita dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Barangkali disebabkan wala’ yang keterlaluan, PAS merasakan bahawa partinya sentiasa di jalan yang betul sehingga tidak boleh menerima kritikan atau teguran. Ini bukanlah demokratik seperti mana yang disebut-sebut oleh mereka. Lebih teruk, terdapat pimpinan PAS yang memberi hukum yang begitu berat semata-mata atas alasan politik.
Saya fikir pemimpin-pemimpin PAS ini perlu belajar semula memahami keutamaan atau awlawiyat untuk rakyat.
Pada akhirnya, rakyat akan melihat bagaimana kualiti pemimpin-pemimpin PAS dalam membantu rakyat. PAS tidak akan selamanya mampu berselindung di sebalik sentimen kaum dan agama kerana rakyat bijak menilai.
Penulis juga merupakan Naib Presiden PKR